August 15, 2010

ROSMAH TURUT DISERANG PERIBADINYA...




Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak begitu hebat dikecam peribadinya seolah-olah tidak ada sekelumit pun kebaikannya terutama di sisi parti pembangkang. Pihak yang berterusan mengecam Rosmah Mansor bukan sahaja iri hati terhadap dirinya, malah pihak yang buruk sangka ini mempunyai niat yang jahat untuk memalukan suaminya yang kini menerajui kepimpinan negara.

Pada mereka jika hendak menjatuhkan Najib, mereka mesti menukar perangainya untuk bersekongkol dengan iblis yang suka mencari-cari keburukan orang lain untuk ditelanjanginya. Golongan ini tidak silu-silu lagi mengaitkan Rosmah Mansor dengan segala keburukan seolah-olah Allah SWT mengecualikan dosa jika memfitnah Rosmah dan Najib.

Mengandaikan Rosmah Mansor dengan pelbagai keburukan dan kehinaan adalah satu angkara fitnah yang wajar dikutuk, kerana agama Islam sendiri tidak menjuruskan diri kita untuk disepadankan dengan perangai iblis dan syaitan seperti yang didakwa oleh mereka yang bertopengkan makhluk perosak itu.

Saya begitu tercuit untuk mengupas isu ini, kerana saya begitu rimas dan kecewa dengan kegilaan pihak-pihak tertentu yang tidak bersenang hati dengan kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak sehingga sanggup mengaibkan maruah peribadi mereka berdua. Walaupun dia isteri kepada Perdana Menteri, namun Rosmah juga adalah manusia biasa yang memiliki hati dan perasaan. Rosmah bukanlah jenama Malaikat, begitu juga saya. Oleh kerana kita bukannya Malaikat, maka diri kita tidak terkecuali dengan dosa dan pahala.

Janganlah kebencian yang meluap-luap terhadapnya sehingga kita terlupa bahawa pahala yang ada pada diri kita akan berpindah kepadanya jika prasangka buruk itu menjadi sindrom fitnah. Ingatlah, gejala fitnah itu lebih merbahaya daripada membunuh. Demikian firman Tuhan di dalam Al-Quran. Jika ingatan Tuhan tidak dipedulikan, maka samalah kita dengan kedurjanaan dan keingkaran oleh iblis dan syaitan yang tidak mahu bersujud terhadap Adam dan Hawa.

Gejala seumpama ini begitu digilai oleh puak-puak pembangkang kerana mungkin mereka berpendapat isu menyerang peribadi sebagai KPI mereka untuk menjatuhkan pemimpin, kerana isu sedemikian lebih mudah untuk mempengaruhi massa jika dibandingkan dengan prestasi dan kewibawaan yang dimiliki oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.

Orang-orang UMNO kena melihat isu ini sebagai satu gejala yang perlu segera disekat dan dijauhi, dan jangan pula di kalangan kita yang cuba menambah kilo sehingga menjadi modal kepada pihak pembangkang untuk melondehkan peribadi pemimpin kita.

Saya begitu kagum dan 'salute' dengan sikap yang diambil oleh Najib yang tidak menjerumuskan dirinya dengan dakyah jahat yang mempalitkan maruah peribadi isterinya itu. Saya mengenali Dato' Sri Najib sejak saya berkecimpung dalam Pergerakan Pemuda UMNO sekitar tahun 1980-an, dan saya semakin mesra dengannya apabila beliau sendiri serasi memanggil saya dengan nama 'Mat Uyang'.

Walaupun saya tidak bersekolah tinggi, tetapi saya tetap bersyukur kerana terdapat dua orang Perdana Menteri yang begitu mesra dan serasi memanggil nama jolokan saya itu apabila kami bersua. Pak Lah PM ke-5 akan meneriak saya dengan nama, Mat! Manakala Najib PM Ke-6 pula akan memanggil saya sebagai Mat Uyang! Begitulah nilai kemesraan seorang pemimpin yang saya kagumi.

Oleh yang demikian, saya tetap merasakan tidak wajar untuk kita menodai kebaikan pemimpin kita ini semata-mata terpengaruh dengan persepsi buruk pembangkang yang tidak menjumpai kebaikan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita yang mahu mendahulukan rakyat untuk menggerakkan pencapaian negara.

Saya amat menghargai dengan nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak yang telah menjemput saya mennghadiri majlis berbuka puasa di kediamannya di Putrajaya hari ini (15 Mei). Jemputan Majlis Berbuka Puasa PM Bersama Sahabat itu telah saya terima menerusi SMS oleh Setpol PM sendiri, Datuk Fatmi Salleh bagi pihak Dato' Sri Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Insya Allah, saya akan menghadirinya dan saya yakin ramai lagi sahabat-sahabat PM yang telah diundang ke majlis ini akan turut serta. Terima kasih, PM!



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.