August 29, 2010

PERKASA SETIAWANGSA MENYUMBANG DUIT RAYA.

Majlis berbuka puasa anjuran PERKASA Parlimen Setiawangsa semalam telah berjaya diadakan dengan kehadiran 120 orang tetamu termasuk 20 orang yang telah menerima sumbangan duit raya daripada Datuk Astaman Abdul Aziz. Saya bersyukur kerana dapat juga menyumbangkan sedikit duit raya kepada 20 orang yang berkenaan itu.

(Foto - Datuk Astaman dan Ahmad Yahaya menyampaikan duit raya kepada salah seorang penerimanya)

Saya amat menghargai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli PERKASA Parlimen Setiwangsa yang telah menghadiri ke majlis ini. Menerusi majlis seumpama ini saya merasakan ia telah berjaya merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan keluarga PERKASA Parlimen Setiawangsa, di samping itu kami juga telah menerima 25 orang ahli baru yang telah mengisi borang permohonan menjadi ahli yang diserahkan kepada Yahaya Tahir, Setiausaha PERKASA Parlimen Setiawangsa.

Selain Datuk Astaman, turut hadir di dalam majlis ini ialah Profesor Dr. Zahalan Man, Timbalan Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan dan Tuan Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Seri Rampai yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Setiawangsa.

Terima kasih juga kepada beberapa orang pemimpin-pemimpin UMNO di dalam Bahagian Setiawangsa yang tidak menghampakan jemputan kami ke majlis berbuka puasa ini; di antara mereka yang berkenaan ialah Abdul Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Abas Mohd. Dom, Badrun Masan, Radzi Jaafar, Samsuri Shahrom, Nasir Md. Amin dan beberapa orang ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa.

Majlis berbuka puasa yang julung kali diadakan ini telah berlangsung di Laman Pengantin, Jalan H3, Taman Melawati milik sahabat saya Ismail Mohamad, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak yang juga merupakan orang kuat PERKASA.

Selepas menikmati juadah nasi beriyani gam dari Batu Pahat Johor ini, kami juga sempat menunaikan solat maghrib berjemaah, solat isyak dan di akhiri dengan solat sunat tarawih yang diimamkan oleh Tuan Haji Abdullah Abdul Rahman.

Datuk Astaman menyampaikan sumbangan duit raya

Ahmad Yahaya menyampaikan duit raya

Abas Mohd. Dom dan rakan-rakannya di meja makan

Samsuri bersama Nasir di meja makan

Rosli Mohammad di meja makan

Diantara ahli-ahli wanita yang hadir

Khusyuk bertahlil sebelum berbuka puasa

Dari kanan: Abidin, Ahmad Yahaya dan Hj Abdullah Abd. Rahman

Datuk Astaman bersama Shamsul, mantan PSU Pemuda UMNO
Bahagian Setiawangsa

Datuk Astaman bermesra dengan beberapa orang pemimpin Pemuda

Hadirin berbuka puasa

Adi Putra dan Radzi Jaafar merupakan Crew Alat Siaraya


August 22, 2010

PERKASA SETIAWANGSA ADAKAN MAJLIS BERBUKA PUASA

Insya Allah, jika tidak ada aral melintang PERKASA Parlimen Setiawangsa akan menganjurkan majlis berbuka puasa pada 28 Ogos ini (Hari Sabtu), bertempat di Jalan H2 Fasa 5 Taman Melawati, Hulu Kelang.

Saya dengan segala besar hatinya menjemput semua Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli PERKASA Parlimen Setiawangsa agar dapat menghadiri ke majlis tersebut bermula jam 6.30 petang. Di dalam majlis itu kami akan meraikan beberapa orang anak yatim di sekitar Parlimen Setiawangsa yang juga akan menerima sumbangan Hari Raya.

Saya juga akan mengundang Presiden PERKASA Dato' Ibrahim Ali dan beberapa orang kuat PERKASA Pusat untuk bersama-sama meraikan majlis berbuka puasa itu.

August 16, 2010

BERBUKA PUASA DI RUMAH PM


Kemesraan di rumah Perdana Menteri

Saya berbangga kerana telah diundang ke majlis berbuka puasa Dato' Sri Najib Tun Razak bersama sahabat-sahabat di kediamannya di Putrajaya semalam. Saya tidak berseorangan ke majlis ini kerana saya turut ditemani oleh rakan-rakan seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa seperti Abdul Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Badrun Masan, Yahya Tahir, Radzi Jaafar, Zahari@Johari, Razali, Zainal Wahi.

Selain kami, kelihatan juga rakan-rakan dari Setiawangsa yang telah berada lebih awal di dewan makan, diantara mereka ialah Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Abd. Hamid Mayuni, Abd. Razak Karim, Azmi Nong, Suni dan juga Husin.

Puan Hairunnisha, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa turut berada di dalam majlis ini, begitu juga dengan Dato' Izudin Ishak yang telah bersalaman dengan kami di meja makan.

(Foto: Bersama Dato' Shahlan Setpol PM)

Sebelum berbuka puasa, Dato' Sri Najib telah meluangkan masanya untuk bersalaman dengan semua tetamu yang hadir, dan beliau sempat juga singgah ke meja makan kami. Biasalah, kesempatan di dalam majlis-majlis seumpama inilah kami dapat bersua muka dengan sahabat-sahabat lama yang pernah bergelumang bersama-sama di dalam Pergerakan Pemuda UMNO suatu masa dahulu.

Saya amat terharu kerana sahabat-sahabat lama itu masih tetap menunjukkan kemesraan walaupun kini jarang bertemu. Diantara sahabat seperjuangan yang sempat ditemui di dalam majlis ini ialah seperti Dato' Saad Man, Dato' Sulaiman Taha, Dato' Syed Ali Alhabshi, Dato' Khalid Yunus, Dato' Jalil Majid, Dato' Seri Shahidan Kassim, Dato' Seri Jamaludin Jarjis, Dato' Ruhanie Ahmad, Wahab Hanafiah dan beberapa orang lagi yang masih mengingati saya dengan panggilan nama 'Mat Uyang'.


Gambar di dewan makan di perkarangan kediaman Perdana Menteri.

Saya juga turut terserempak dengan sahabat karib saya Zaharin Mohd. Yasin @ Sang Kelembai dan Man JR. Kedua-dua mereka adalah blogger politik yang cukup dikenali di kalangan orang-orang politik. Zaharin agak terkejut dengan perkembangan terbaharu diri saya yang kini sedang mengendalikan laman blog buraqkualalumpur dan juga memiliki laman sosial Facebook.

Saya menyatakan kepada Zaharin bahawa diri saya bukanlah sedungu yang disangka sehingga ada di kalangan tertentu yang cuba memperlekehkan saya dalam bidang baru yang saya terokai sekarang. Jikalau bodoh sangatlah saya ini, tidak mungkin saya merasakan kehidupan hari ini lebih baik dari semalam malah lebih terurus jika dibandingkan sejak dahulu.

Mereka yang bersangka buruk terhadap diri saya bagaikan tidak mempercayai dengan qada' dan qadar ketentuan Illahi. Kenapakah masih ada manusia yang mendurjanakan dirinya sendiri sehingga terlupa bahawa kejayaan itu tidak mungkin terjelma tanpa dengan daya usaha yang gigih.

Saya bersyukur dengan rezeki kurniaan Illahi. Walaupun saya tidak mencecah ke menara gading, namun saya tetap mampu memberikan didikan kepada anak-anak dan tanggungan saya sehingga mereka berjaya ke puncak gading dan boleh pula membantu ayahnya supaya celik IT sehingga saya boleh mengendalikan laman blog sendiri dan laman sosial facebook saya. Sebenarnya mereka banyak monitoring saya supaya diri saya tidak dungu lagi dalam pancaroba dunia IT.

Selain mereka, sahabat-sahabat seperjuangan juga turut memberikan pandangan kepada saya agar saya tidak tergelincir dan tersasar dalam mengemudi isu-isu yang tercoret di dalam blog ini. Saya tidak mungkin tersasar sebagaimana mereka yang pernah menghina saya lalu menerkam diri saya dengan segala hujah yang tidak bersendikan moral yang baik.

Saya ingin menasihatkan mereka di bulan yang mulia ini supaya tidak tergalak untuk menjadi manusia yang memiliki akal yang tak senonoh sebagaimana yang sering diungkapkan oleh Dato' Halim Samad di dalam ucapan-ucapannya sebelum ini.


August 15, 2010

ROSMAH TURUT DISERANG PERIBADINYA...




Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak begitu hebat dikecam peribadinya seolah-olah tidak ada sekelumit pun kebaikannya terutama di sisi parti pembangkang. Pihak yang berterusan mengecam Rosmah Mansor bukan sahaja iri hati terhadap dirinya, malah pihak yang buruk sangka ini mempunyai niat yang jahat untuk memalukan suaminya yang kini menerajui kepimpinan negara.

Pada mereka jika hendak menjatuhkan Najib, mereka mesti menukar perangainya untuk bersekongkol dengan iblis yang suka mencari-cari keburukan orang lain untuk ditelanjanginya. Golongan ini tidak silu-silu lagi mengaitkan Rosmah Mansor dengan segala keburukan seolah-olah Allah SWT mengecualikan dosa jika memfitnah Rosmah dan Najib.

Mengandaikan Rosmah Mansor dengan pelbagai keburukan dan kehinaan adalah satu angkara fitnah yang wajar dikutuk, kerana agama Islam sendiri tidak menjuruskan diri kita untuk disepadankan dengan perangai iblis dan syaitan seperti yang didakwa oleh mereka yang bertopengkan makhluk perosak itu.

Saya begitu tercuit untuk mengupas isu ini, kerana saya begitu rimas dan kecewa dengan kegilaan pihak-pihak tertentu yang tidak bersenang hati dengan kepimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak sehingga sanggup mengaibkan maruah peribadi mereka berdua. Walaupun dia isteri kepada Perdana Menteri, namun Rosmah juga adalah manusia biasa yang memiliki hati dan perasaan. Rosmah bukanlah jenama Malaikat, begitu juga saya. Oleh kerana kita bukannya Malaikat, maka diri kita tidak terkecuali dengan dosa dan pahala.

Janganlah kebencian yang meluap-luap terhadapnya sehingga kita terlupa bahawa pahala yang ada pada diri kita akan berpindah kepadanya jika prasangka buruk itu menjadi sindrom fitnah. Ingatlah, gejala fitnah itu lebih merbahaya daripada membunuh. Demikian firman Tuhan di dalam Al-Quran. Jika ingatan Tuhan tidak dipedulikan, maka samalah kita dengan kedurjanaan dan keingkaran oleh iblis dan syaitan yang tidak mahu bersujud terhadap Adam dan Hawa.

Gejala seumpama ini begitu digilai oleh puak-puak pembangkang kerana mungkin mereka berpendapat isu menyerang peribadi sebagai KPI mereka untuk menjatuhkan pemimpin, kerana isu sedemikian lebih mudah untuk mempengaruhi massa jika dibandingkan dengan prestasi dan kewibawaan yang dimiliki oleh Dato' Sri Najib Tun Razak.

Orang-orang UMNO kena melihat isu ini sebagai satu gejala yang perlu segera disekat dan dijauhi, dan jangan pula di kalangan kita yang cuba menambah kilo sehingga menjadi modal kepada pihak pembangkang untuk melondehkan peribadi pemimpin kita.

Saya begitu kagum dan 'salute' dengan sikap yang diambil oleh Najib yang tidak menjerumuskan dirinya dengan dakyah jahat yang mempalitkan maruah peribadi isterinya itu. Saya mengenali Dato' Sri Najib sejak saya berkecimpung dalam Pergerakan Pemuda UMNO sekitar tahun 1980-an, dan saya semakin mesra dengannya apabila beliau sendiri serasi memanggil saya dengan nama 'Mat Uyang'.

Walaupun saya tidak bersekolah tinggi, tetapi saya tetap bersyukur kerana terdapat dua orang Perdana Menteri yang begitu mesra dan serasi memanggil nama jolokan saya itu apabila kami bersua. Pak Lah PM ke-5 akan meneriak saya dengan nama, Mat! Manakala Najib PM Ke-6 pula akan memanggil saya sebagai Mat Uyang! Begitulah nilai kemesraan seorang pemimpin yang saya kagumi.

Oleh yang demikian, saya tetap merasakan tidak wajar untuk kita menodai kebaikan pemimpin kita ini semata-mata terpengaruh dengan persepsi buruk pembangkang yang tidak menjumpai kebaikan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita yang mahu mendahulukan rakyat untuk menggerakkan pencapaian negara.

Saya amat menghargai dengan nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak yang telah menjemput saya mennghadiri majlis berbuka puasa di kediamannya di Putrajaya hari ini (15 Mei). Jemputan Majlis Berbuka Puasa PM Bersama Sahabat itu telah saya terima menerusi SMS oleh Setpol PM sendiri, Datuk Fatmi Salleh bagi pihak Dato' Sri Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Insya Allah, saya akan menghadirinya dan saya yakin ramai lagi sahabat-sahabat PM yang telah diundang ke majlis ini akan turut serta. Terima kasih, PM!



August 13, 2010

PEKENA RENDANG ITIK, KARI KAMBING DI WARUNG MAMAK SELANGOR MANSION

Selepas bertarawih di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah di Taman Sri Rampai saya sempat bertemu dengan rakan-rakan saya di Downtown Coffee & Tea di Rampai Business Park.

Kebetulan rakan-rakan saya itu Rosli, Rahman, Radzi, Badrun, Pak Ya, Jo dan beberapa orang yang lainnya sedang bersantai minum malam bersama Datuk Astaman di situ, dimana mereka kesemuanya juga baru lepas bertarawih di Surau Persiaran Setiawangsa iaitu di Cawangan Samad Saim.

Sebaik sahaja Datuk Astaman meninggalkan kami kira-kira jam 12.00 tengah malam, kami telah berpindah tempat kerana Rosli mengajak kami ke warung mamak di Selangor Mansion, di Jalan Masjid India (Gambar di atas) untuk pekena kenikmatan sajian mamak yang cukup popular itu.

Wow...sebaik sampai di warung mamak itu selera saya semakin terliur dengan segala sajian lauk pauknya terutama kari kambing, kari ayam dan rendang itik yang menjadi pilihan saya untuk bersahur bersama rakan-rakan yang lainnya.

Memang berselera......kami bersahur awal pada malam kedua ramadan ini, dan semasa nak balik kira-kira jam 1.30 pagi ada yang 'tapau' untuk menyambung bersahur di rumah pula.

.


August 8, 2010

SELAMAT BERPUASA, JANGAN BUAT DOSA LAGI

Buraq ingin mengambil kesempatan hari ini untuk mengucapkan 'Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan' dan mendoakan semoga bulan puasa yang bakal menjelang ini akan membawa keberkatan dan maghfirah (keampunan) kepada kita semua. Amin!

Sebagai umat Islam kita semua diperintahkan supaya berpuasa di siang hari pada bulan ramadan kerana di bulan yang mulia ini juga Allah nyatakan sebagai bulan keampunan dan pintu syurga terbuka luas untuk orang-orang yang diterima puasanya di sisi Allah.

Bulan Ramadan adalah bulan ibadah. Kita digalak menggandakan amalan di bulan yang mulia ini dengan bersedekah dan membantu golongan yang kurang bernasib baik. Pertolongan ikhlas di bulan yang penuh kerahmatan ini akan mencerminkan diri kita sebagai insan yang sentiasa bersyukur dan bertaqwa.

Berpuasa tidak menjadi makna jika kita hanya tidak makan dan tidak minum pada siang hari, tetapi kita tidak menjaga akhlak dan akal budi sehingga kita menjadi lebih celupar dengan melakukan penghinaan sesama manusia. Jika Rasulullah bersabda bahawa mulut berbau bagi orang yang berpuasa itu akan lebih harum daripada kasturi di akhirat nanti, tidak bermakna jika kita berhasad dengki, tamak haloba dan berdendam kesumat di bulan yang mulia ini, maka Allah akan menggandakan pula pahala puasanya.

Jika kita berpuasa di siang hari, tetapi tidak menyempurnakan amalan solat yang difardukan, maka sia-sialah puasa kita itu yang hanya menanggung lapar dan dahaga sahaja. Maka begitu jugalah dengan mereka yang berpuasa tetapi masih terbawa-bawa dengan sikap buruknya dengan menyakiti hati orang lain, membuat fitnah terhadap insan lain dan tidak rasa bersalah pula untuk mengaibkan peribadi orang lain, maka puasanya itu tidak menjadikan dirinya sebagai insan yang bertaqwa.

Ingatlah jika Rasulullah menyatakan dalam sabdanya, "Apabila datangnya Ramadan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan" bukan bermakna perangai syaitan yang terlekat di dalam diri manusia juga turut dipenjarakan. Jika kita masih berperangai seperti syaitan, maka puasa kita dianggap gagal untuk membersihkan jiwa nurani kita.

Oleh yang demikian, saya serukan kepada diri saya sendiri dan kepada anda sekelian terutamanya di kalangan mereka yang seangkatan dengan politikus adu domba supaya dapat mengIhyakan Ramadan dengan amalan yang mulia. Jangan hampiri perasaan hasad, jangan jadikan diri kita sepadan dengan iblis dan syaitan yang sentiasa tidak senang hati melihat orang lain lebih baik daripada kita.

Insaflah, kita bukannya iblis dan bukan pula syaitan, jauh sekali sebagai Malaikat. Manusia dijadikan daripada tanah, manakala jin dan syaitan adalah makhluk yang engkar dan tidak mahu bersujud terhadap kewujudan Adam dan Hawa ciptaan Allah Azzawajalla. Jika kita masih menuruti kehendak hawa nafsu sehingga kita terjelma berperangai seperti makhluk yang terkutuk itu, maka jadikanlah ketibaan Ramadan sebagai ujian untuk merobah segala sikap keji kita selama ini.

Akhirnya, saya ingin mengungkapkan sedikit ingatan buat renungan semua - Suatu ketika Jibril pernah berdoa bahawa celakalah orang yang apabila datangnya Ramadan tetapi tidak memperolehi rahmat dan keampunanNya. Maksudnya dia tidak beramal dengan penuh kesungguhan, masih terus melakukan dosa. Maka Rasulullah telah mengaminkan doa Jibril itu. Maknanya bertambah makbullah doa itu.

Oleh itu marilah kita bertekad dan berazam pada bulan Ramadan kali ini bahawa kita akan melaksanakannya dengan penuh ketekunan. Selamat beribadah, mudah-mudahan kita beroleh ketaqwaan.

Selamat Berpuasa!



August 5, 2010

SPRM KENA SIASAT SEMUA PEMIMPIN SETIAWANGSA?

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan mengenai provokasi penulis blog 'anak kuala Lumpur' bertarikh 3 Ogos yang lalu yang begitu teruja menuding jari hanya kepada Datuk Astaman supaya disiasat oleh SPRM kononnya berlaku sogokan wang dari beliau semata-mata untuk memenangi G7 di peringkat UMNO Bahagian Setiawangsa pada 11 Julai lalu (Lihat keratan akhbar BH 22 Julai 2010).

Saya tidak pasti samada SPRM sudah melakukan siasatan kepada individu yang ditunjuk itu. Namun saya tidak boleh menafikan wujudnya konspirasi untuk mengaibkan bekas Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu, kerana beliau merupakan di antara tujuh calon yang telah berjaya memenangi kerusi G7 bagi mewakili UMNO Bahagian Setiawangsa ke Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini, itu pun beliau hanya menduduki tempat ke-4 (95 undi) di bawah Samad Saim, Rahman Hashim dan Azhar Kassim.

Akhbar Berita Harian dan The Star tidak mungkin mensensasikan berita yang berkaitan itu tanpa mendapat sumber maklumat daripada 'pengadu' yang mungkin juga mengetahui secara sedar bahawa sebenarnya Astaman tidak menyogoknya dengan duit sebagaimana yang didakwa.

Sebagaimana kupasan saya sebelum ini mengenai isu yang sama, saya sekali lagi ingin mempersoalkan apakah setiap mereka yang telah diberikan undi secara majoriti sehingga menang, maka kita boleh andaikan berlakunya sogokan duit kepada setiap orang yang memberikan undiannya itu? Kalaulah begitu andaiannya, maka malang sungguh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang mengetuai UMNO Bahagian Setiawangsa kerana kesemua perwakilannya dianggap sebagai mata duitan.

Saya sendiri sebagai ketua perwakilan bagi UMNO Cawangan Rampai Town yang turut mengundi untuk G7 pada hari tersebut tidak disogokkan dengan duit untuk saya mengundi calon pilihan saya iatu Datuk Astaman, Abdul Rahman Hashim, Samad Saim, Shari Sidek, Ahmad Laili, Abas Mohd. Dom dan Haji Yahya Bakar.

Apakah benar Samad Saim, Rahman Hashim dan lima yang lainnya yang menang itu telah menyumbatkan duit ke temolok perwakilan sehingga membuatkan mereka berjaya? Jika Astaman hendak disiasat, saya juga ingin mengesyorkan agar yang lain juga wajar disiasat. Jika mereka yang berkenaan itu selain Astaman tidak disiasat, saya berpendapat pengadu itu tidak berlaku adil malah bermotif jahat terhadap individu tertentu sahaja.

Mungkin pengadu yang jahat itu tidak berhajat untuk mendakwa Samad Saim, Rahman Hashim, Azhar Kassim, Mat Laili, Shari dan Wan Zainal juga menang kononnya tiada bukti sahih mereka menghulur duit, tetapi benarkah pengadu itu ada menerima duit dari Datuk Astaman sendiri untuk mengundinya?


Mereka berdua pernah berentap, didakwa pernah main duit?

Saya berkata demikian kerana saya masih teringat ketika Shuib Ibrahim menentang Dato' Halim Samad merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa pada tahun 2008, heboh memperkatakan berlakunya tabur menabur duit kepada para perwakilan supaya memilih mereka.

Ada yang melaporkan kepada saya Shuib (kini Bendahari UMNO Bahagian Setiawangsa) telah menyogok sekitar RM300 - RM500 kepada perwakilan di hari-hari terakhir musim pemilihan pada masa itu, begitu juga ada yang melaporkan Dato' Halim yang beregu dengan Dato' Fauzi Zahari pada masa itu turut memeriahkan suasana sogok menyogok duit melalui macainya Azhar Kassim. Dato' Izudin yang turut bertanding Naib Ketua Bahagian menentang Dato' Fauzi Zahari juga tidak terkecuali berpesta menyogok wang ringgit kepada perwakilan.


Mereka pernah berentap jawatan Naib Ketua Bahagian 2008

Saya kira ramai kawan-kawan saya yang boleh mengesahkan betapa mereka merasakan kemeriahan wang ringgit semasa musim pemilihan jawatan pada tahun 2008 yang lepas. Saya ingin mengesyorkan kepada anda yang telah disogok dengan wang seumpama ini supaya turut melaporkan kepada SPRM bagi memanaskan lagi bahang bencana rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Bahagian Setiawangsa ini.

Walaupun perbuatan menyogok wang itu berlaku pada tahun 2008, namun saya yakin SPRM tidak mungkin berdalih dan berhelah untuk menyiasat dan mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit itu....baru adil!

Akhirnya saya ingin sarankan agar Dato' Sri Zulhasnan Rafique tidak lagi meneruskan hajatnya untuk memimpin UMNO Bahagian Setiawangsa yang telah diselaputi dengan rasuah politik wang yang kelihatannya melibatkan Bendahari anda sendiri. Nampaknya selepas ini SPRM akan bekerja lebih masa untuk menyiasat gelagat pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Setiawangsa yang didapati sebati dengan permainan duit. Ramai yang berminat untuk menjadi pengadu kepada SPRM, kerana mereka berpendapat Zulhasnan telah memberi lampu hijau untuk mengotorkan imej kepimpinannya sendiri.

Cukuplah...berilah peluang kepada orang baru yang bukan sahaja bersih malah kelihatan lebih bersih dan lebih berwibawa untuk mengemudi UMNO di Bahagian ini. UMNO bukan milik individu dan bukan pula sebuah syarikat Sdn. Bhd. yang hanya dimiliki oleh beberapa orang rakan kongsi sahaja.


August 2, 2010

32 DARIPADA 38 PERWAKILAN FAM PILIH ASTAMAN

Datuk Astaman Abdul Aziz (Gambar kiri) bukan sahaja telah menang di dalam G7 UMNO Bahagian Setiawangsa pada 11 Julai lalu dengan memperolehi 95 undi, malah percubaannya untuk menduduki G8 dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM turut meraih undi yang besar apabila beliau berjaya menduduki tempat ke-2 dengan memperolehi 32 undi daripada 38 perwakilan yang hadir di dalam Kongres Tahunan FAM Ke-47, yang diadakan pada 31 Julai lepas, di Holiday Inn City Centre, Glenmarie, Shah Alam.

Sebagai sahabatnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Astaman kerana beliau telah berjaya membuktikan kelayakan dirinya untuk berada sepasukan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia di bawah pimpinan DYMM Sultan Ahmad Shah, manakala Timbalan Presiden FAM yang baru diberikan mandat pula ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan seorang lagi Timbalannya iaitu bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa.

Semoga sukan bolasepak negara dapat diberi nafas baru dengan era kepimpinan dinamik yang dibarisi oleh mereka yang komited dengan dunia bolasepak. Sesungguhnya warga Kuala Lumpur turut gembira kerana Timbalan Presiden Persatuan Bolasepaknya, Datuk Astaman Abdul Aziz kini satu saf dengan kepimpinan bolasepak negara, iaitu FAM.