September 26, 2010

NIK AZIZ LEBIH MENJAGA HATI DAP DARIPADA YANG LAIN

Banyak isu-isu pelik yang dibangkitkan oleh MB Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (Foto) yang kelihatannya beliau lebih menjaga hati sekutu politiknya DAP daripada menjaga hati orang Melayu.

Memang benar, Tuan Guru Nik Aziz wajahnya kelihatan seperti Melayu tetapi baru-baru ini beliau berkata dirinya tidak rasa bangga menjadi Melayu, kerana menurutnya agama Islam juga memberi pengiktirafan kepada bangsa-bangsa lain yang wujud di muka bumi ini.

Banyak kenyataan-kenyataan Tuan Guru ini yang bukan lagi menjaga hati Melayu yang beragama Islam di negara ini , sebaliknya beliau lebih memilih untuk memerangkap DAP supaya menyokong partinya walaupun DAP menentang keras hukum hudud dilaksanakan di negara ini.

Ulamak PAS ini bagaikan terlupa bahawa dirinya dahulu pernah mengeluarkan hujah untuk tidak menyokong UMNO kerana UMNO dakwanya tidak memperjuangkan Islam. Lantas beliau melarang partinya supaya tidak bercantum dengan UMNO, walaupun UMNO sebuah parti Melayu yang jelas beragama Islam jika dibandingkan dengan DAP.

Gayanya lebih cenderung untuk menyinggung hati orang Melayu semata-mata untuk mengekalkan sokongan parti DAP terhadap PAS. Beliau sanggup bergaduh dengan Melayu UMNO demi untuk meneruskan persekongkolan dengan parti cauvinis DAP.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Foto) semasa berucap dalam majlis perhimpunan PERKASA semalam di Pasir Mas, Kelantan mendakwa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh membuat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram semata-mata demi menjaga hati DAP dan pada masa sama mendapatkan sokongan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata selain Nik Aziz, pemimpin parti Islam itu sanggup melakukan apa sahaja untuk dapatkan sokongan.

“Ada pemimpin Melayu cakap mereka bukan orang Melayu tapi orang Islam. Itu tidak mengapa tetapi yang jadi persoalan kenapa hal berkaitan Islam diketepikan.

“Kalau mengakui diri adalah Islam jadi berlagaklah seperti orang Islam tapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Nik Aziz boleh halalkan segala-galanya, malah beliau juga boleh buat tafsiran baru berkaitan hukum halal dan haram,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Melayu Perkasa Kelantan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di pekarangan Stesen Keretapi Pasir Mas.

Buat pertama kali Dr Mahathir datang ke Kelantan hari ini setelah insiden beliau disembur cecair di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, empat tahun lalu.

Dr Mahathir yang diiringi oleh isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali datang ke negeri ini untuk menghadiri perhimpunan Perkasa.

Beliau tiba di majlis itu dengan memakai kain lilit di kepala bewarna kuning dengan corak bunga padi serta mengenakan selempang merah di bahunya.

Kali terakhir Dr Mahathir datang ke Kelantan ialah pada 2006.

Pada lawatan itu, Dr Mahathir telah disembur dengan cecair yang merbahaya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada pukul 11 pagi, 28 Julai 2006.

“Pemimpin PAS sudah ketepikan agama, malah bangsa sendiri juga dilupakan.

“Sebagai contoh isu ternak babi, Nik Aziz cakap tidak ada masalah kalau nak ternak babi kerana dalam Islam tidak larang, yang haram adalah makan babi.

“Semua yang dilakukan ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat sahaja,” kata Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat terutamanya di Kelantan supaya mengenali latar belakang pemimpin mereka sebelum menyesal.

“Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang membela dan mengikut kehendak rakyat bukan pemimpin yang gila nak jadi perdana menteri.

“Pemimpin-pemimpin yang gilakan kuasa ini boleh menyebabkan orang Melayu terpecah kepada 10 puak,” katanya.

Bekas presiden Umno itu juga mendakwa PAS menyertai PR adalah semata-mata untuk menang dalam pilihan raya.

“Parti yang berada dalam PR bergabung hanya untuk menang pilihan raya dan dapatkan kuasa.

“Semua orang tahu dasar setiap parti itu (PAS, PKR dan DAP) berbeza. Dasar perjuangan mereka tidak sama, jadi rakyat perlu tahu jenis pemimpin mereka,” katanya.

Dr Mahathir juga menjelaskan matlamat perjuangan PKR adalah bukan untuk rakyat tetapi adalah memastikan pemimpin mereka menjadi perdana menteri.

“Objektif PKR adalah nak pemimpin mereka jadi perdana menteri bukan untuk rakyat dan memastikan hak rakyat stabil.

“Apa yang penting bagi mereka adalah pemimpin mereka boleh jadi perdana menteri dan mereka sanggup lakukan apa sahaja bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya.

Dalam kenyataan terbaru minggu ini, Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan kehilangan kuasa jika PR mengambil alih pemerintahan negara ini.

Beliau mendakwa apa yang dinyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri diterajui PR walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa orang Melayu akan menjadi kaum minoriti dari segi politik jika PR berkuasa.

Beliau juga menasihati pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak mengetepikan individu berkebolehan yang dapat menyumbang kepada kekuatan parti hanya semata-mata takut kedudukan sendiri tercabar.

“Ini masalah Umno, kerana takut kedudukan sendiri dicabar mereka yang berkebolehan diketepikan sebab itu ramai yang masuk PAS.

“Jadi Umno perlu ubah semua ini demi kebaikan parti,” katanya.

Sumber: Malaysianinsider

September 8, 2010

BADAN KEBAJIKAN DAN TABUNG BANTUAN KHAS PERSIARAN KUANTAN RAIKAN 300 WARGA KARIAH SETAPAK

Menjelang 1 Syawal bermakna kita bakal meninggalkan Ramadan Al-Mubarak. Hampir sebulan kita menjalani ibadah puasa untuk membuktikan ketaatan kita dengan perintah Allah dalam mencari ketaqwaan yang hakiki di sisi Nya.

Dari kiri: Dato' Yamin, Ahmad Yahaya & Rahman Hashim

Dari kiri: Yahaya Tahir, Dato' Yamin dan Ahmad Yahaya

Dato' Abd. Rahim (Berbaju hitam) turut berada di dalam majlis

Di bulan yang mulia ini kita digalakkan untuk bersedekah kepada golongan yang memerlukan, kerana hari lebaran merupakan hari kemenangan yang pastinya tidak mengecualikan golongan ini. Kemenangan melawan nafsu lapar dan dahaga sepanjang Ramadan haruslah menginsafkan diri kita betapa terhirisnya golongan yang marhain selama ini yang tidak menikmati kemewahan sebagaimana yang dikecapi oleh golongan yang melimpah ruah.

Dato' Yamin beramah mesra dengan para tetamu

Pemimpin Perkasa Setiawangsa di meja makan

Abd. Rahman Muhamad (Pengerusi Surau Al-Hijrah PPR Sri Semarak)
dan Badrun Masan (Kanan) turut berada di majlis tersebut.


Membantu golongan miskin, anak-anak yatim dan segolongan lain yang perlu diberikan bantuan merupakan amal jariah yang berlipat ganda pahalanya di sisi Allah.

Semalam saya sempat menghadiri satu majlis penyampaian sumbangan Hari Raya anjuran Badan Kebajikan dan Tabung Bantuan Khas, Persiaran Kuantan yang dipengerusikan oleh Dato' Ahmad Yamin Bin Dato' Abdul Rahim, dimana saya bersama rakan-rakan rombongan dari PERKASA Setiawangsa yang turut dihadiri oleh lebih 300 orang ahli kariah sekitar Setapak yang telah menerima sumbangan duit raya daripada badan kebajikan ini.

Majlis seumpama ini merupakan program tahunan yang sering diadakan sejak 8 tahun yang lalu pada setiap bulan Ramnadan. Kali ini Dato' Ahmad Yamin tidak mengadakan majlis tersebut di Masjid Jame' Setapak, sebaliknya program amal ini telah diadakan di perkarangan rumahnya di Lorong Chan Chee Moi 1 dekat Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Turut meraikan majlis ini ialah Datuk Astaman Abdul Aziz yang telah diundang untuk menyampaikan sebahagian daripada sumbangan duit raya itu bermula pukul 4.30 petang sebelum diadakan jamuan berbuka puasa.

Saya tidak keseorangan ketika menghadiri majlis ini. Saya ditemani oleh rakan-rakan ahli jawatankuasa PERKASA Setiawangsa yang terdiri daripada Yahaya Yahir (Setiausaha), Haji Zulkapli Husin (Bendahari), Abdul Rahman Hashim (Ketua Penerangan), Mohd. Radzi Jaafar (AJK) dan Badrun Masan (AJK).

Setinggi tahniah kepada sahabat saya Dato' Ahmad Yamin, Naib Pengerusi PERKASA Setiawangsa yang begitu prihatin dengan gerak kerja amalnya selama ini. Dato' Ahmad Yamin bukan sahaja Pengerusi Badan Kebajikan dan Tabung Bantuan Khas Persiaran Kuantan, malah beliau juga merupakan Ketua UMNO Cawangan di situ dan merupakan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Setiawangsa.


September 7, 2010

MEMPERTIKAI HAK ISTIMEWA MELAYU DIA BUTA SEJARAH

Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan, kata pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata kedudukan orang Melayu sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.

"Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan tersebut.

"Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.

"Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud," katanya.

Justeru, kata Khoo, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut.

"Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini," katanya.

Teriakan kemerdekaan negara pada 31 Ogos

Perlembagaan telah dirangka berdasar1957kan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan. Khoo berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

"Orang tak faham (Perlembagaan)...jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu," katanya.

Beliau berkata sekiranya Perlembagaan mahu dipinda, persetujuan daripada dua pertiga Anggota Parlimen perlu dicapai dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong. Katanya, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula, perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti di Parlimen dan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda," katanya.

Bulan lepas, MCA menggariskan 13 resolusi pada Kongres Ekonomi Cina antaranya meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Kenyataan ini secara tidak langsung menggesa kerajaan agar memansuhkan Perkara 153 dan cuba mempertikaikan tanggungjawab yang ada pada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu.


Sumber maklumat: Malaysiakini