August 16, 2010

BERBUKA PUASA DI RUMAH PM


Kemesraan di rumah Perdana Menteri

Saya berbangga kerana telah diundang ke majlis berbuka puasa Dato' Sri Najib Tun Razak bersama sahabat-sahabat di kediamannya di Putrajaya semalam. Saya tidak berseorangan ke majlis ini kerana saya turut ditemani oleh rakan-rakan seperjuangan di dalam UMNO Bahagian Setiawangsa seperti Abdul Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Badrun Masan, Yahya Tahir, Radzi Jaafar, Zahari@Johari, Razali, Zainal Wahi.

Selain kami, kelihatan juga rakan-rakan dari Setiawangsa yang telah berada lebih awal di dewan makan, diantara mereka ialah Dato' Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Abd. Hamid Mayuni, Abd. Razak Karim, Azmi Nong, Suni dan juga Husin.

Puan Hairunnisha, Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa turut berada di dalam majlis ini, begitu juga dengan Dato' Izudin Ishak yang telah bersalaman dengan kami di meja makan.

(Foto: Bersama Dato' Shahlan Setpol PM)

Sebelum berbuka puasa, Dato' Sri Najib telah meluangkan masanya untuk bersalaman dengan semua tetamu yang hadir, dan beliau sempat juga singgah ke meja makan kami. Biasalah, kesempatan di dalam majlis-majlis seumpama inilah kami dapat bersua muka dengan sahabat-sahabat lama yang pernah bergelumang bersama-sama di dalam Pergerakan Pemuda UMNO suatu masa dahulu.

Saya amat terharu kerana sahabat-sahabat lama itu masih tetap menunjukkan kemesraan walaupun kini jarang bertemu. Diantara sahabat seperjuangan yang sempat ditemui di dalam majlis ini ialah seperti Dato' Saad Man, Dato' Sulaiman Taha, Dato' Syed Ali Alhabshi, Dato' Khalid Yunus, Dato' Jalil Majid, Dato' Seri Shahidan Kassim, Dato' Seri Jamaludin Jarjis, Dato' Ruhanie Ahmad, Wahab Hanafiah dan beberapa orang lagi yang masih mengingati saya dengan panggilan nama 'Mat Uyang'.


Gambar di dewan makan di perkarangan kediaman Perdana Menteri.

Saya juga turut terserempak dengan sahabat karib saya Zaharin Mohd. Yasin @ Sang Kelembai dan Man JR. Kedua-dua mereka adalah blogger politik yang cukup dikenali di kalangan orang-orang politik. Zaharin agak terkejut dengan perkembangan terbaharu diri saya yang kini sedang mengendalikan laman blog buraqkualalumpur dan juga memiliki laman sosial Facebook.

Saya menyatakan kepada Zaharin bahawa diri saya bukanlah sedungu yang disangka sehingga ada di kalangan tertentu yang cuba memperlekehkan saya dalam bidang baru yang saya terokai sekarang. Jikalau bodoh sangatlah saya ini, tidak mungkin saya merasakan kehidupan hari ini lebih baik dari semalam malah lebih terurus jika dibandingkan sejak dahulu.

Mereka yang bersangka buruk terhadap diri saya bagaikan tidak mempercayai dengan qada' dan qadar ketentuan Illahi. Kenapakah masih ada manusia yang mendurjanakan dirinya sendiri sehingga terlupa bahawa kejayaan itu tidak mungkin terjelma tanpa dengan daya usaha yang gigih.

Saya bersyukur dengan rezeki kurniaan Illahi. Walaupun saya tidak mencecah ke menara gading, namun saya tetap mampu memberikan didikan kepada anak-anak dan tanggungan saya sehingga mereka berjaya ke puncak gading dan boleh pula membantu ayahnya supaya celik IT sehingga saya boleh mengendalikan laman blog sendiri dan laman sosial facebook saya. Sebenarnya mereka banyak monitoring saya supaya diri saya tidak dungu lagi dalam pancaroba dunia IT.

Selain mereka, sahabat-sahabat seperjuangan juga turut memberikan pandangan kepada saya agar saya tidak tergelincir dan tersasar dalam mengemudi isu-isu yang tercoret di dalam blog ini. Saya tidak mungkin tersasar sebagaimana mereka yang pernah menghina saya lalu menerkam diri saya dengan segala hujah yang tidak bersendikan moral yang baik.

Saya ingin menasihatkan mereka di bulan yang mulia ini supaya tidak tergalak untuk menjadi manusia yang memiliki akal yang tak senonoh sebagaimana yang sering diungkapkan oleh Dato' Halim Samad di dalam ucapan-ucapannya sebelum ini.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.