July 27, 2010

SAYA DAN PERKASA SETIAWANGSA


PERKASA - Memperkasa Melayu

Saya amat menghargai di atas kepercayaan Dato' Paduka Ibrahim Ali Presiden PERKASA yang telah melantik saya menjadi Pengerusi PERKASA Parlimen Setiawangsa. Sesungguhnya saya tidak menjangka bahawa diri saya yang serba serbi lemah ini telah diletakkan sebagai peneraju kepada sebuah pertubuhan yang memperkasakan Melayu di kawasan Parlimen Setiawangsa.

Nampaknya di Wilayah Persekutuan ini Pengerusi PERKASA di peringkat parlimennya tidak terdapat walau seorang pun Pengerusinya terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian. Di Setiawangsa walaupun saya bukan Ketua UMNO Bahagian dan bukan juga 'Ahli Parlimen', tetapi Ibrahim Ali tidak menjadikan kriteria itu untuk melayakkan seseorang itu menjadi Pengerusi PERKASA di peringkat Parlimen.

Ibrahim Ali tidak memilih Dato' Sri Zulhasnan Rafique Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa sebagai Pengerusi PERKASA di kawasan parlimennya. Adakah Ibrahim Ali tidak percaya kepada UMNO sehingga tidak melantik Ketua UMNO Bahagian sebagai Pengerusi PERKASA di setiap kawasan Parlimen di WP?

(Foto Kanan: Saya menerima watikah perlantikan Penegerusi Perkasa Setiawangsa daripada Tan Sri Sanusi Junid, pada 25 Julai lalu)

Apakah dengan tidak melantik Ketua UMNO Bahagian maka PERKASA dikatakan tidak sehaluan lagi dengan UMNO yang selama ini telah banyak berjasa kepada orang Melayu di negara ini? Memang benar Ibrahim Ali bukannya pemimpin UMNO dan bukan pula Ahli Parlimen UMNO/BN, tetapi Ibrahim Ali telah memperlihatkan keperkasaannya mendepani banyak isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Melayu yang kini semakin tercabar.

Jika hari ini ramai yang berkata bahawa UMNO tidak segarang dahulu dalam memartabatkan hak keistimewaan orang Melayu di negara ini, maka kemunculan PERKASA telah memberi kejutan kepada pihak yang cuba bermain api memperlekehkan bangsa Melayu. PERKASA lebih bertegas dan bersuara lantang dalam mempertahankan kedaulatan Melayu sekiranya kelesuan UMNO yang menjadi faktornya.

GAMBAR SEKITAR PELANCARAN PERKASA WILAYAH PERSEKUTUAN
PADA 25 JULAI 2010


Kiri - Tan Sri Sanusi diperkenalkan dengan semua Pengerusi Perkasa Peringkat
Parlimen Wilayah Persekutuan. Kanan: Sanusi sedang berucap.



Kiri - Ahmad Yahaya sedang beramah mesra dengan Sanusi, Ibrahim Ali,
Yusof Hamid dan Azrat Gull. Kanan - Dato' Mokhtar Samad Yang Dipertua Perkasa WP sedang berucap.

Maka sebab itu, apabila saya dilantik menjadi Pengerusi PERKASA Setiawangsa, saya tidak melengahkan untuk memberikan 'kata setuju' kepada Presiden PERKASA Ibrahim Ali dan kepada Mokhtar Samad, Yang Dipertua PERKASA Wilayah Persekutuan. Saya bersetuju setelah saya melihat PERKASA memberikan platfom kepada saya untuk memperkasakan isu-isu yang membabitkan bangsa Melayu khususnya di kawasan Parlimen yang saya wakili.

Tidak bermakna saya memperkasakan PERKASA maka saya tidak lagi perkasakan UMNO. PERKASA adalah NGO Melayu, manakala UMNO adalah sebuah parti politik Melayu yang terbesar di negara ini. Diantara kedua-duanya mempunyai hala tuju perjuangan yang sama dan sederap iaitu untuk memberikan wajah harapan kepada bangsa Melayu yang sedang kita warisi ini.

Biarkan PERKASA melengkapkan perjuangannya, kerana PERKASA tahu siapa kawan dan siapa yang menjadi lawan ketika umat Melayu di negara ini dihimpit dengan pelbagai tekanan termasuk tekanan politik kiri dan kanan. PERKASA Setiawangsa tidak mungkin berlaga angin dengan UMNO Setiawangsa hanya semata-mata berlainan pemimpinnya.

Begitu juga saya yakini bahawa PERKASA tidak akan menderhaka kepada perjuangan memperkasa MELAYU, walaupun ada di kalangan pemimpin UMNO yang mencemburuinya. Jika UMNO masih berpegang kuat kepada kepentingan Melayunya, apa kurangnya PERKASA. UMNO wajarlah diperkasakan sebagaimana PERKASA memperkasakan bangsa.

Saya berharap rakan-rakan seperjuangan yang membarisi PERKASA Setiawangsa seperti Cikgu Mat Laili, Dato' Yamin, Rahman Hashim, Rosli Mohammad, Radzi Jaafar, Yahaya Tahir, Abang Zul Semarak, Abg Yatim, Hamid Mayuni, Abas, Hj Yahaya, Nasir Amin, Muner, Roselan, Abg Badrun, Shari Sidek, Samad Saim, Wan Yaakop, Nora Tarmizi, Maimunah Shahrizan, Awaludin Zaharin, Zainal Mahmud, Jaafar Malek - marilah sama-sama kita perkuatkan iltizam untuk masa depan agama Islam, bangsa Melayu dan juga negara yang tercinta ini.

HIDUP MELAYU!!


July 26, 2010

ZULHASNAN DAN PELAPISNYA


Zulhasnan Rafique, Halim Samad dan Fauzi Zahari

Parlimen Setiawangsa satu-satunya kawasan yang telah dimenangi oleh UMNO dan BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dalam PRU12 2008 yang lalu. Selain Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan juga turut dimenangi oleh UMNO/BN.

Titiwangsa, Lembah Pantai, Wangsa Maju, Batu, Cheras, Bandar Tun Razak, Seputeh, Kepong, Segambut dan Bukit Bintang kesemuanya tidak dimenangi oleh Barisan Nasional. Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang mengepalai UMNO Bahagian Setiawangsa sejak 2004 walaupun menang dalam PRU12, namun hanya enam daripada lima belas peti undi yang terdapat di Parlimen Setiawangsa yang telah dimenangi, sementara sembilan peti undi yang lainnya telah mencatatkan ketewasan sokongan terhadap UMNO/BN.

Kejayaan Zulhasnan yang menjadi Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu telah diselamatkan oleh sebilangan 14 ribu pengundi-pengundi pos yang terdiri daripada anggota polis dan juga tentera yang terdapat di dalam Parlimen Setiawangsa. Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan pada tahun berkenaan agak terkejut dengan keputusan rakyat itu kerana ia sedikit sebanyak telah mencalarkan imejnya sebagai seorang Menteri.
Justify Full
Namun begitu Zulhasnan tetap bernasib baik kerana rakan-rakan seperjuangannya di dalam UMNO seperti Dato' Seri Shahrizat Jalil yang bertanding di Lembah Pantai, dan Dato' Abdul Aziz yang menggantikan Datuk Astaman di Titiwangsa telah direbahkan oleh rakyat di kawasan parlimen masing-masing.

Di sebalik kejayaannya mengungguli di kawasan Parlimen Setiawangsa rupa-rupanya ia tidak memikat Dato' Sri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri menggantikan Pak Lah untuk mengekalkan jawatan Menterinya. Walaupun Zulhasnan berjaya di tempat ke 22 di dalam merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2008, namun Perdana Menteri yang ke-6 ini bagaikan tidak menghiraukan kedudukan itu lantas telah menggugurkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang telah disandangnya semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri.

Dato' Sri Najib lebih rela dan bersenang hati melantik orang baru yang bukannya seorang Ahli Majlis Tertinggi dan bukan juga seorang Ahli Dewan Rakyat iaitu Datuk Raja Nong Chik yang hanya seorang Ketua UMNO Bahagian di Lembah Pantai untuk mengetuai Kementerian Wilayah Persekutuan.

Raja Nong Chik dilantik menjadi senator dan terus sahaja diumumkan sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan sekaligus menggugurkan Zulhasnan. Demikianlah mudahnya paparan naik turun (Uploading) seorang politikus yang auranya hanya dibayangi oleh tokoh tertentu (Perdana Menteri). Langit tidak selalunya cerah. Dirinya hanya bergantung kepada sinaran mentari, jika awan berarak melindungi mentari, maka mendung kelabu menyelubungi diri.

(Foto Kanan: Zulhasnan menyerahkan tugas kepada penggantinya Raja Nong Chik)

Zulhasnan kini sedang menghitung hari samada dirinya akan terus bersambung menjadi calon UMNO di dalam PRU13 yang bakal menjelma setahun dua ini. Beliau yang tidak menduga dirinya akan menjadi calon dalam pilihan raya umum 1999, apakah beliau juga akan tidak terduga untuk digantikan dengan orang lain dalam era pasca PRU13 yang diterajui oleh Dato' Sri Najib kali ini?

Sebagai pemimpin yang diangkat oleh rakyat tentulah beliau mengharapkan agar rakyat dapat memberikan mandat sekali lagi kepadanya. Sebagai pemimpin yang berusia 55 tahun, tentunya beliau dikategorikan sebagai golongan pemimpin yang masih berkeupayaan untuk meneruskan khidmat baktinya sebagai seorang wakil rakyat di kawasan Parlimen Setiawangsa.

Namun begitu, liku-liku perjalanan seorang politikus bukanlah semudah yang dijangka. Lihat sajalah, Datuk Astaman Abdul Aziz yang pernah diletakkan bertanding di Parlimen Titiwangsa dalam PRU 2004, tetapi telah disingkatkan perkhidmatannya sehingga beliau tidak dicalonkan semula dalam PRU12 yang lalu.

Kemungkinan untuk mengekalkan Zulhasnan sebagai wakil rakyat di Setiawangsa sampai bila-bila selagi berhayat adalah sesuatu jangkaan yang agak keterlaluan untuk diterima akal. Saya rasa dirinya juga tidak mungkin bersetuju jika beliau terus dikekalkan sehingga boleh menyekat laluan penggantinya yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti nanti.

Sebagai parti yang didokongi oleh rakyat, tentunya pemimpin akan bersilih ganti untuk menyegarkan sokongan rakyat terhadap parti. Pemimpin yang masih berdegil untuk bertapa di atas takhtanya, lambat laun tentu akan diturunkan oleh rakyat. Sebelum diturunkan tentunya ada isyarat yang memerlukan seseorang pemimpin itu menyediakan pelapisnya.

Di Setiawangsa ini, Zulhasnan hendaklah bersedia daripada sekarang untuk menyediakan barisan pelapisnya. Walaupun bukan sekarang masanya untuk Zulhasnan melepaskan jawatannya, namun tidak wajar juga orang lain begitu rakus untuk menggantikannya. Siapa juga yang bakal penggantinya nanti, biarlah tokoh itu menjadi idola kepada rakyat yang menyambung perjuangan yang telah digagaskan oleh Dato' Sri Zulhasnan selama ini.

Jika ada kewajaran untuk menggantikan Zulhasnan, biarlah penggantinya dapat diterima dan dipersetujui oleh segenap lapisan masyarakat yang berada di Setiawangsa. Jika pemimpin yang diangkat hanya disenangi oleh kabilah tertentu sahaja, tentu sekali pemimpin semacam itu akan mudah direbahkan oleh kabilah yang lainnya. Akhirnya tindakan menjatuhkan pemimpin juga akan menghampirkan UMNO dengan kemusnahan di atas tangan-tangan yang rakus kuasa.

Persoalannya wajarkah Zulhasnan digantikan? Pada saya, Zulhasnan hanya boleh ditukarkan jika beliau tidak lagi memenuhi aspirasi rakyat yang diwakilinya atau beliau sendiri tidak lagi berminat dan tidak berhajat untuk meneruskan legasinya sebagai wakil rakyat selepas ini.

Jika perkhidmatan beliau sebagai wakil rakyat di Parlimen Setiawangsa ditamatkan oleh pucuk pimpinan parti, maka PRU13 bakal menyaksikan kemunculan calon baru untuk menjadi galang gantinya. Persoalannya, siapakah yang bakal mengisi kekosongan itu? Tentunyalah calon itu daripada UMNO. Tetapi siapa?

Benarkah Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua Bahagian Setiawangsa yang mengidamkan kerusi itu? Bagaimana pula dengan Timbalan Ketua Bahagian Dato' Halim Samad, apakah beliau hanya berpada dengan apa yang ada? Zulhasnan yang sudah 11 tahun menjadi Ahli Parlimen tentunya beliau tidak terkilan jika talian hayatnya itu tidak bersambung.

Sepanjang 11 tahun menjadi wakil rakyat, geraf pencapainnya dilihat pada tahap turun naik. Di awal kemunculannya sebagai wakil rakyat, Zulhasnan dilihat begitu merakyat.

Namun pada tahun 2001, Zulhasnan yang berani mencuba untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju yang ketika itu masih disandang oleh Datuk Dr. Kamal Salih (Kini, Tan Sri), beliau telah menghadapi kegagalan setelah pertarungan dua penjuru di antara dirinya dengan Datuk Astaman Abdul Aziz (Foto kiri) telah menyaksikan beliau kecundang.

(Foto kiri - Astaman. Beliau pernah menewaskan Zulhasnan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001)

Difahamkan pada mulanya Zulhasnan akan berergu dengan Astaman untuk jawatan nombor satu dan nombor dua, namun setelah Kamal Salih menarik diri daripada sirkit pertandingan jawatan nombor satu itu, maka Datuk Astaman telah dilonjakkan oleh penyokong-penyokong Kamal Salih supaya beradu nasib dengan Dato' Zulhasnan.

Senario itu telah memaksa Zulhasnan bergandingan pula dengan Dato' Zainal Nazeri Zainuddin sebagai calon Timbalannya di samping Dato' Shafei Abdullah yang bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian. Tuhan telah mentakdirkan hanya Zulhasnan yang tewas bagi jawatan Ketua Bahagian, manakala Zainal Nazeri dan Shafei telah berjaya menewaskan calon lawan masing-masing, termasuk diri saya yang tertewas untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Zulhasnan dikira bernasib baik kerana persempadan baru kawasan parlimen yang berlaku pada tahun 2004 telah mentakdirkan dirinya dilantik menjadi Ketua Penaja UMNO Bahagian yang baru iaitu Bahagian Setiawangsa. Saya juga bernasib baik kerana telah digandingkan sebagai Timbalannya pada tahun berkenaan.

Datuk Astaman dan Dato' Zainal Nazeri pula masing-masing digandingkan sebagai Ketua dan Timbalan Ketua di Bahagian Wangsa Maju yang telah disempadankan semula. Zulhasnan yang masih menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju ketika itu tidak lagi menghadapai persaingan politik dengan musuh tradisinya Datuk Astaman dan juga Dato' Zainal Nazeri. Penyokong kuatnya, Shafei Abdullah turut berada di Bahagian Wangsa Maju sebagai Naib Ketua Bahagian.

Zulhasnan kelihatannya selesa di Bahagian yang baru ini. Ketiadaan tokoh-tokoh yang berpengaruh di Bahagian Setiawangsa untuk menandingi kehebatannya telah menjadikan dirinya semakin dominan, malah terbukti tidak ada sesiapa pun yang berani tampilkan diri untuk mencabar beliau pada tahun 2004 dan juga pada tahun 2008 yang lalu.

Walaupun masih ada tokoh-tokoh lain seperti Dato' Halim Samad, Dato' Fauzi Zahari, Dato' Izudin Ishak dan Dato' Mohd. Yamin Dato' Rahim di persada Setiawangsa, namun kekuatan mereka tidak mampu untuk menundukkan seorang wakil rakyat yang telah menjadi Timbalan Menteri dan kemudiannya menjadi seorang Menteri.

SEJAUH MANA MEREKA INI BOLEH MENJADI PELAPIS KEPIMPINAN SETIAWANGSA?


Dari Kiri - Yamin, Shuib, Zainal Mahmood, Ahmad Hashim & Rahman Hashim

Individu-individu lain seperti Samad Saim yang telah memenangi undi tertinggi G7 baru-baru ini, Ahmad Hashim, Shuib Ibrahim, Rahman Hashim, Azhar Kassim, Zainal Tan Sri Mahmood, Azmi Badarudin termasuk diri saya bukanlah saingan sebenar bagi Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Tetapi ramai yang berkata, kemunculan semula Datuk Astaman Abdul Aziz yang kini menjadi ahli UMNO di Bahagian Setiawangsa mampu menggugat Dato' Sri Zulhasnan yang sedang terpinggir dalam arus perdana politik nasional. Itu pun jika Astaman berminat untuk menawarkan perkhidmatannya sebagai Ketua Bahagian, manakala Zulhasnan pula pada masa itu tidak lagi terpilih sebagai Wakil Rakyat.

Senario dan jangkaan kemungkinan PRU13 diadakan lebih awal sebelum musim pemilihan jawatan di dalam UMNO semakin hangat diperkatakan. Samada Zulhasnan akan dikekalkan atau ditamatkan perkhidmatannya kali ini juga semakin menarik untuk diperhatikan. Senario Dr. Kamal Salih yang tidak terpilih semula sebagai calon pilihan raya pada tahun 1999 sedangkan beliau masih menjadi Ketua Bahagian Wangsa Maju, apakah akan terjadi kepada Dato' Sri Zulhasnan Rafique selepas ini di Setiawangsa?

Putaran senario politik ini nampaknya semakin menjadi kebimbangan kepada Zulhasnan, namun saya percaya kematangan yang dimiliki oleh Zulhasnan tidak memungkinkan untuk beliau membataskan sokongan dan juga komitmennya untuk memenangkan calon penggantinya dalam PRU13 nanti.

Kelibat Dato' Fauzi Zahari untuk menjadi calon ganti kepada Zulhasnan juga amat mencuri hati saya untuk mengulasnya. Fauzi Zahari bukanlah tokoh pemimpin yang tidak berwibawa, tetapi beliau sendiri tidak begitu yakin dengan kewibawaannya. Beliau dilihat hanya sebagai pemimpin yang dipimpin, dan bukan pula seorang pemimpin yang boleh memimpin.

Pemimpin yang bersikap menyorok untuk berhadapan dengan gelombang perjuangan merupakan 'Jenderal Perang' yang rela melihat anak buahnya terbunuh. Jika pemimpin jenis ini yang ditonjolkan sudah barang tentu jangka hayat kepimpinannya tidak bertahan lama. UMNO akan terus dirundung malang apabila mendapat pemimpin 'lowbatt' yang tidak mampu memberi sinergi seperti Fauzi Zahari.

Kehadiran Datuk Astaman Abdul Aziz yang menawarkan diri untuk bertanding G7 baru-baru ini telah membuatkan Fauzi Zahari pula yang pening kepala. Hairan sungguh kenapa Fauzi Zahari yang takutkan bayang-bayang Astaman sehingga beliau terpaksa berselindung dengan membuat pengakuan tidak mahu bersekongkol dengan Astaman dalam merebut salah satu kerusi G7 yang dipertandingkan?

Persoalannya, apakah penyertaan Astaman dalam sirkit G7 itu boleh mengancam kedudukan beliau sebagai Naib Ketua Bahagian? Sebenarnya beliau sendiri tahu bahawa Astaman tidak menggugatnya, tetapi beliau tidak mahu terheret sebagai penyokong kepada Datuk Astaman, kerana beliau tidak mahu Zulhasnan menghidu hubungannya bersama Astaman.

Tindakannya yang tidak merestui Astaman dimasukkan ke dalam 'chai kuning' bukan bermakna beliau menolak secara total kehadiran Astaman di Setiawangsa, cuma beliau merasakan terlalu awal untuk Astaman membunyikan wiselnya sehingga ia disedari oleh Zulhasnan. Beliau sendiri mengetahui betapa kuatnya pengaruh Astaman untuk menandingi dominasi Zulhasnan di Setiawangsa, tetapi dirinya tidak mahu terkait dengan gelombang itu buat masa ini.

Jika demikian permainan politik Fauzi Zahari, saya tetap berpendapat kewibawaannya tidaklah sehebat Zulhasnan. Daripada Fauzi, baik lagi Zulhasnan!

July 23, 2010

G7 DITUDUH MENYOGOK WANG....LURUS TELUNJUK, KELINGKING BERKAIT!




Foto di atas: Mereka yang menang G7, benarkah perwakilan bermata duitan memilih mereka?

Saya terpanggil untuk membuat ulasan mengenai isu perebutan kerusi G7 di peringkat UMNO Bahagian Setiawangsa yang telah berlangsung 12 hari yang lepas (11 Julai, 2010). Sebelum mengulasnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang menang.

Diantara mereka yang telah berjaya ialah Samad Saim, Azhar Kassim, Abdul Rahman Hashim, Datuk Astaman Abdul Aziz, Ahmad Laili Tajul Arus, Shaari Sidek dan Wan Zainal Wan Chee. Mereka yang tersebut memang layak memenanginya kerana masing-masing telah berjaya memperolehi mandat dan jumlah undi majoriti daripada perwakilan yang hadir ke persidangan UMNO Bahagian Setiawangsa pada 11 Julai lalu.

Bukankah adat demokrasi telah meletakkan sesiapa yang memperolehi majoriti undi tertentu maka dialah layak untuk memenangi jawatan yang direbutnya itu. Kemenangan dan juga kekalahan merupakan rempah ratus dalam kerja buat demokrasi. Ketewasan bukan bermakna kalah semua, begitu juga kemenangan bukanlah menang semuanya.

Persoalannya ialah kenapakah di Setiawangsa ini perebutan kerusi G7 yang dipertandingkan itu bagaikan sebuah kapal yang terumbang ambing di tengah lautan sehingga kapal kehilangan sauh sebelum tenggelam di dasar laut?

Mengapakah pihak yang kalah tidak mahu menerima hakikat bahawa kemenangan yang diperolehi oleh mereka yang berkenaan adalah suatu mandat yang telah ditunjukkan oleh majoriti yang mengundi? Tanpa adanya perwakilan yang mengundi pasti tidak ada yang kalah dan tidak ada pula yang menang.

Saya mengikuti blog rakan saya 'semarakwangsa' di mana ulasan-ulasan yang diberikan terhadap liputan berita mengenai G7 di Setiawangsa telah dijadikan pentas pertikaian oleh pihak tertentu. Begitu juga saya nak respon dengan kupasan yang dibuat oleh blog 'anak Kuala Lumpur' (http://budakkualalumpur2.blogspot.com) yang celupar mulut membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya yang mengaitkan penglibatan Datuk Astaman dalam pertandingan G7 kali ini.

Nampaknya pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu terus menggandakan andaiannya untuk tidak menerima kejayaan Samad, Azhar, Rahman, Datuk Astaman, Mat Laili, Shaari dan Wan Zainal dengan berbagai hujah negatif sehingga terbawa-bawa emosi menuduh dan mendakwa mereka yang menang itu sebagai menang yang tak bermaruah; dan mendakwa mereka yang terkandas sebagai kalah yang bermaruah.

Apa maknanya itu...? Bukankah yang menang dan yang kalah itu merupakan pemimpin-pemimpin UMNO juga? Kenapa mesti kita menuding jari yang kalah itu bermaruah, dan yang menang pula sebagai tak bermaruah? Bagaimana pula dengan individu tertentu 'tanpa bernama' yang menulis dan mengkritik di dalam blog semarakwangsa itu, apakah dia seorang yang bermaruah? Kalau seorang pejuang yang berani, dia takkan menyorokkan identitinya...itu pengecut namanya!

Tindakan melontarkan kesalahan hanya kepada orang lain tanpa menyuluh dalaman diri sendiri sebenarnya itu lebih tidak bermaruah malah si pengecut itu bagaikan seorang 'pelacur politik' yang mesti dikutuk kerana kehinaannya itu.

Kepada pelacur politik ini, saya nak cabar saudara.....jika benar-benar anda seorang politikus yang ada telor maka janganlah bermain api, kelak membakar telor sendiri! Kalau berani berumah di tepi pantai, jangan takuti ombak yang sedang mengancam diri anda! Cerminlah diri sendiri, jangan hanya melihat cermin orang lain semata-mata.

Saya sendiri pun hairan, orang yang pengecut ini seolah-olah melihat G7 ini sebagai pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian. Tahukah anda G7 tak sama dengan Ketua Bahagian. Apakah Samad Saim yang menang undi tertinggi maka kita patut menuduh dia bakal Ketua Bahagian?

Begitu juga dengan Azhar Seleku dan Rahman Hashim, mereka berdua menang dengan jumlah undi yang sama (96 undi), apakah mereka berdua lebih hebat daripada Zulhasnan Rafique, Halim Samad, Fauzi Zahari dan tokoh-tokoh yang lainnya?

Begitu juga saya nak bertanya, apakah kehadiran dan kemenangan Datuk Astaman di tangga ke-4 dalam G7 itu boleh dianggap sebagai satu ancaman? Ancaman kepada siapa? Bukankah rasa yang pedas itu hanya kepada mereka yang tergigit cili? Orang yang tidak tergigit cili, dia takkan merasa kepedasan.

Saya pun nak tahu juga, kenapa Wan Zainal Wan Chee yang menang tangga ke-7 tidak dituduh sebagai penyuap wang? Jika mereka yang memperolehi kemenangan dianggap telah menyogok duit, maka hebatlah Wan Zainal kerana berjaya menyogok duit kepada 82 perwakilan. Begitu juga Shaari, Mat Laili, Rahman, Azhar dan Samad mereka telah menang cemerlang, apakah wajar kita menuduhnya menang tak bermaruah....main duitkah mereka ini?

Kenapa Shuib Ibrahim yang menang majoriti besar dalam pertandingan G7 tahun lepas tidak diandaikan sebagai pengamal politik wang juga? Dia juga 'berwang' di Setiawangsa ini. Mungkin binatang beruang tidak pandai menilai wang, tetapi manusia yang 'berwang' pasti sedikit sebanyak akan berbelanja juga dengan kekuatan wangnya itu.

Saya berani mencabar apakah beliau yang pernah tewas di tangan Dato' Halim Samad ketika merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun 2008 lalu tidak pernah berbelanja dengan wang? Jika bukan dengan wang, adakah beliau berbelanja dengan 'daun duit-duit' sahaja?

Saya juga ketika ditentang oleh Halim Samad pada tahun 2004 untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian Setiawangsa, tidak menafikan sedikit sebanyak terpaksa berbelanja untuk menggerakkan jentera bagi mempastikan saya tidak kalah. Namun Tuhan mentakdirkan saya kalah juga, dan saya pun kehilangan jawatan nombor dua itu.

Saya tidak pun tersasau untuk menuding jari akibat kekalahan saya itu, jauh sekali untuk saya mendakwa Dato' Halim Samad telah memenangi jawatan itu sebagai tidak bermaruah. Saya rasa dia juga telah mengeluarkan sedikit belanja untuk membantu kejayaannya itu. Tetapi saya tidak tergamak untuk menuduhnya sebagai pengamal politik wang, sebagaimana Shuib menuduh Astaman yang telah menang memikat hati 95 perwakilan untuk G7 2010 yang lepas, kononnya 95 perwakilan yang mengundinya seolah-olah mata duitan.

Bukan itu sahaja, beliau juga dikatakan begitu cabul mengandaikan orang yang memberikan sokongan kepada Astaman yang didakwanya menggunakan wang itu sebagai 'iblis'. Kesian saya mendengar rintihan orang yang didakwanya sebagai iblis yang mahu menyokong Astaman.

Adakah benar Shuib berkata sedemikian? Mungkin Shuib tidak melemparkan tuduhan 'Astaman Main Duit' kepada diri saya, tetapi ramai kawan-kawannya sendiri yang telah menyokong Astaman yang mengadu kepada saya bahawa Shuib pernah berkata sedemikian.

Saya ingin menasihatkan Shuib dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya supaya janganlah berlagak sombong, angkuh dan riak dengan kekayaan pemberian Tuhan itu. Janganlah beriri hati dengan kejayaan orang lain yang mungkin lebih berpengaruh daripada dirinya sendiri.

Saya tidak berhajat untuk menyamakan dirinya dengan Astaman, kerana Astaman bukanlah berperangai seperti dia. Mungkin dia sendiri tak tahu bahawa ramai juga yang membuat persepsi buruk mengenai dirinya, termasuk mereka yang pernah menerima sesuatu daripadanya.

Jangan bersangka jahat kepada orang lain, jikalau diri sendiri tidak bersih akhlaknya. Oleh itu sama-samalah kita bertaubat, Tuhan lebih mengetahui segala-galanya.


July 21, 2010

BURAQ BLOG MAYA SEPANTAS KILAT CAHAYA

Buraq atau juga disebut eja Al-Buraq (bahasa Arab: البراق , dari segi bahasa bererti "kilat cahaya". Ia adalah sejenis makhluk menyerupai haiwan, besar sedikit dari himar (keldai) dan kecil sedikit dari baghal (haiwan kacukan keldai dan kuda).Diriwayatkan juga buraq ini merupakan makhluk yang menyerupai haiwan lagenda iaitu seekor kuda putih yang bersayap burung berbulu pelepah yang besar.

Namun ada juga yang mengatakan buraq menyerupai burung putih yang besar. Walaubagaimanapun ia dijadikan oleh Allah bukan dari jenis yang berdarah, berdaging dan bertulang belulang seperti haiwan, sebaliknya ia diciptakan daripada cahaya.

Buraq merupakan makhluk tunggang Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Baitul Maqdis dalam peristiwa Israk Mikraj.

Hikmah dijadikan buraq yang berfungsi sebagai kenderaan dan pesawat angkasa menyerupai seekor binatang walaupun unsur kejadiannya daripada cahaya, adalah bagi memudahkan Nabi Muhammad s.a.w. memahami tujuan Jibril datang membawa makhluk menyerupai haiwan untuk dikenderai oleh Nabi s.a.w. dalam peristiwa Isra dan Mi'raj.

Kerana kenderaan yang lazim digunakan oleh manusia pada ketika itu ialah haiwan sama ada unta atau kuda dan seumpamanya.

Buraq mempunyai kelajuan yang luar biasa iaitu selangkah kakinya memacu, bergerak sejauh mata memandang. Sesuai dengan hakikat 'zat' lembaga buraq yang dijadikan oleh Allah SWT dari cahaya.

Ahli sains juga mendapati bahawa pergerakan yang paling pantas di alam maya ini ialah cahaya. Dalam kelajuan seperti cahaya, membolehkan Nabi s.a.w. tiba di Masjid al-Aqsa Baitul Muqaddis dalam waktu yang singkat.